MANGSA:
Aktiviti pemerdagangan manusia akan menyebabkan mangsa yang terlibat dalam perdagangan manusia akan mengalami gangguan mental dan fizikal. Hal ini boleh dilihat apabila mangsa-mangsa ini berada dalam keadaan tertekan serta ketakutan kerana mereka terpaksa melakukan pekerjaan secara terpaksa dan bukan secara suka rela. Sekiranya mereka tidak mengikuti perintah pihak terbabit, mereka mungkin didera dan dihukum dengan lebih berat dan teruk. Ini menyebabkan terdapat segelintir mangsa perdagangan manusia ini mengalami kecederaan fizikal seperti lebam-lebam akibat dipukul oleh pihak majikannya.
Mangsa pemerdagangan manusia juga mengalami gangguan mental dan trauma akibat daripada pekerjaan yang terpaksa dilakukan. Contohnya kanak-kanak dijadikan sebagai pengemis, tentera paksa atau bagi tujuan aktiviti keagamaan. Manakala bagi wanita pula dijadikan sebagai pelacur, hamba dan buruh paksa. Aktiviti seumpama ini kadang kala dilakukan tanpa bayaran kerana mangsa tidak diberikan bayaran/gaji tetapi mereka hanya diberikan tempat tinggal serta makan dan minum sebagai saraan hidup. Perkhidmatan mereka seolah-olah dipergunakan oleh pihak yang tak berwajib.
Selain itu, mangsa pemerdagangan manusia mungkin mengalami jangkitan penyakit. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mangsa-mangsa ini sememangnya terdedah kepada wabak penyakit seperti AIDS, HIV, filis, jangkitan kuman, dan sebagainya. Penyakit seperti ini mudah merebak terutama bagi wanita yang memperdagang diri mereka untuk aktiviti pelacuran. Bagi golongan kanak-kanak juga tidak ketinggalan apabila mereka dijadikan pengemis jalanan, mereka turut terdedah kepada wabak penyakit seperti SARS, jangkitan kuman dan lain-lain.
Akibat daripada aktiviti pemerdagangan orang juga, mangsa menanggung malu seumur hidup. Ini menyebabkan mangsa tidak suka berhadapan dengan khalayak umum kerana mangsa mungkin dikeji atau dihina kerana pernah melakukan aktiviti terkutuk seperti melacur atau mengemis. Lantaran itu mangsa-mangsa aktiviti perdagangan manusia lebih suka memencilkan diri daripada bergaul dengan orang ramai kerana mereka mungkin bimbang akan terjerumus dengan aktiviti itu lagi dan turut bimbang akan perspektif masyarakat terhadap pekerjaan yang telah dilakukan oleh mereka sebelumnya.
MASYARAKAT DAN NEGARA:
Pemerdagangan manusia menimbulkan kesan yang besar terhadap masyarakat dan negara. Umumnya, kita akan kehilangan sumber tenaga atau kepakaran sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia terus berleluasa. Kepakaran untuk perkembangan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial mungkin terbatas kerana kepakaran tersebut telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral tersebut. Sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia tidak dibendung, negara tidak berupaya untuk beroleh kepakaran yang maksimum kerana sumber idea yang kurang daripada pelapis-pelapis baru iaitu kanak-kanak dan wanita.
Aktiviti pemerdagangan manusia menyebabkan sistem pemerintahan negara menjadi lemah di mata dunia. Hal ini kerana negara-negara maju seperti US, UK, Russia dan lain-lain mungkin beranggapan bahawa sistem pemerintahan negara lemah dan tidak sistematik kerana tidak dapat membendung masalah pemerdagangan manusia yang berleluasa. Ini menyebabkan imej negara dimata dunia jatuh. Tidak mustahil perkara ini menjadi penyebab kepada kejatuhan sosioekonomi negara pada masa hadapan.
Selain itu, wabak penyakit turut merebak ke dalam negara. Pemerdagangan manusia yang semakin menjadi-jadi memudahkan wabak penyakit menular di Malaysia. Wabak penyakit seperti HIV, AIDS, H1N1, tibi dan sebagainya mudah merebak sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia tidak dikawal oleh pihak berwajib. Penyakit berjangkit ini bukan sahaja mudah merebak malah boleh membawa maut kepada masyarakat. Jadi, aktiviti pemerdagangan manusia ini perlu dibendung agar masyarakat tidak berasa bimbang akan penyakit berbahaya disekeliling mereka.
Antara kesan lain kepada masyarakat dan negara ialah pembangunan ekonomi terjejas. Pelancongan ekonomi mungkin mengalami kemerosotan kerana orang luar takut untuk datang melancong ke dalam negara. Hal ini mungkin kerana faktor kebimbangan terhadap aktiviti pemerdagangan manusia yang berleluasa. Kebimbangan tersebut menyebabkan pelancong asing tidak memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka. Ini menyebabkan Malaysia mengalami kerugian kerana pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan dan penjana ekonomi negara.
(205277)
0 comments:
Post a Comment